Serah kedai desa
Kuala Lumpur : UDA Holdings Berhad mengadakan dua majlis penyerahan lima unit kedai desa dua tingkat di Kemasik, Kemaman, Terengganu dan di Mentakab, Temerloh, Pahang pada Julai lalu.Naib Presiden 1 merangkap Ketua Pegawai Operasi UDA Land Sdn Bhd Mohd Hassan Mohd Salleh berkata, projek pembangunan kedai desa itu dimulakan pembinaannya sejak Ogos 2011.
“Projek pembinaan ini merangkumi Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Perak. Setakat Julai lalu, kami sudah membina 59 lot kedai iaitu 112 unit kedai desa apabila jumlah kontrak untuk pembinaan mencecah RM15 juta,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur.
Menurutnya, sebelum ini, UDA juga turut menyerahkan kedai desa seumpama itu kepada Majlis Perbandaran Dungun, Majlis Perbandaran Jasin, Majlis Daerah Pekan, Majlis Perbandaran Taiping dan Majlis Perbandaran Muar sejak Julai tahun lalu.
Malah, UDA juga dijangka menyerahkan kedai jenis sama yang disiapkan kepada Majlis Daerah Jeli, Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Majlis Daerah Perak Tengah selepas Aidilfitri ini.
Menurutnya, pihak UDA berharap pembangunan kedai desa ini dapat membantu meningkatkan jumlah usahawan desa dan membuka lebih banyak peluang perniagaan melalui penyediaan ruang niaga di lokasi perniagaan yang mampan, teratur dan mampu disewa usahawan desa di lokasi yang strategik.
0 comments for "Serah kedai desa"