Gesa percepat proses - MBAM
Kuala Lumpur: Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) menggesa kerajaan supaya memendekkan tempoh pemprosesan permohonan pekerja asing daripada sembilan bulan kepada sekurang-kurangnya dua bulan bagi industri pembinaan di Malaysia.Presidennya, Matthew Tee berkata, memandangkan rata-rata syarikat pembinaan mengalami masalah kekurangan pekerja dan tempoh sembilan bulan yang diambil untuk memproses permohonan pekerja asing menyebabkan banyak projek yang tergendala kerana kurang tenaga kerja.
Beliau berkata, pihak kerajaan perlu menimbangkan semula dan melihat isu ini sebagai sesuatu yang serius, lebih-lebih lagi industri pembinaan sangat penting dalam menyumbang kepada ekonomi negara.
“Industri ini dilihat akan terus meningkat dan menyumbang kepada pertumbuhan positif negara sebanyak 11.2 peratus tahun ini dan kekurangan sumber buruh menjadi permasalahan utama syarikat pembinaan di mana kebanyakan bergantung kepada kemahiran pekerja asing.
“Kami sudah banyak kali mengutarakan isu ini kepada pihak yang berkenaan dan setakat ini tiada sebarang maklum balas diberikan, malah syarikat semakin risau mengenai kekurangan pekerja untuk melaksanakan projek mengikut tempoh yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Menurutnya, sebanyak 1.3 juta pekerja asing yang bekerja secara sah direkodkan di negara ini dan dianggarkan lebih kurang 1.9 juta pekerja asing tidak mempunyai dokumen sah.
Tee berkata, memandangkan industri pembinaan bukanlah bidang pekerjaan yang popular dan menjadi pilihan rakyat tempatan, pihaknya banyak bergantung kepada pekerja asing.
“Bagi setiap projek bernilai RM100 juta, syarikat pembinaan dibenarkan untuk membawa masuk lebih kurang 100 pekerja asing dan ia perlu melalui proses yang panjang.
“Disebabkan itu, kami mencadangkan supaya satu pusat sehenti bagi menangani pemprosesan pekerja asing diwujudkan supaya ia dapat dipercepatkan dan melancarkan proses permohonan,” katanya.
Beliau berkata, unjuran bagi industri pembinaan tahun ini dijangka terus positif kerana tahun lalu mencatatkan peningkatan jumlah projek yang tertinggi sejak beberapa dekad iaitu sebanyak RM120 bilion.
“Tahun ini pula, setakat Jun lalu terdapat lebih kurang RM70 bilion nilai projek yang direkodkan dan kami yakin ia akan terus bertambah memandangkan banyak projek yang diumumkan oleh kerajaan,” katanya.
0 comments for "Gesa percepat proses - MBAM"