Izara terpaksa tegas elak kontroversi

Sejak dihambat pelbagai kontroversi dalam tempoh tiga tahun ini, pelakon jelita Izara Aishah tidak boleh lagi bertolak ansur mengenai hak peribadinya. Tindakan itu yang menjadi pilihan selebriti berusia 22 tahun ini sekarang atas nama profesionalisme.

Tegasnya, langkah itu mungkin kedengaran melampau dan tidak bertempat sebagai artis Malaysia.

Namun, jelas Izara, selepas pelbagai cerita buruk yang tidak berasas menjejaskan nama dan kerjayanya sebelum ini, bersikap tegas dalam menegakkan haknya adalah keputusan paling wajar.

“Saya mahu masyarakat tahu kerjaya dan peribadi saya adalah dua perkara berasingan yang tidak boleh dicampur-adukkan.

“Sebelum ini, mungkin kerana saya bersikap terbuka dan banyak berkongsi cerita dengan orang ramai sehingga akhirnya memakan diri sendiri. Cukup-cukuplah dengan apa yang sudah berlaku. Bagi saya, hubungan baik artis dengan media dan peminat perlu ada batasnya,” katanya ketika sesi fotografi bersama RAP, baru-baru ini.

Naib juara program Dewi Remaja 2010 ini berkata, bersikap tegas dalam urusan kerja dan peribadi adalah jawapan terbaik bagi mengelak sebarang kontroversi liar terus bermaharajalela mengisi profil kerjayanya.

Katanya, bukan dia mula bersikap sombong atau besar kepala tetapi cara itu lebih memudahkan urusan kerja saban hari.

“Sebenarnya dari dulu lagi ramai orang yang rapat dengan saya memberikan nasihat agar tidak terlalu rapat dengan mana-mana pihak yang berurusan dengan kita.

“Memadailah jika saya berhubung dengan media, penggiat industri atau peminat atas dasar kerja. Apabila sudah terkena macam-macam (gosip), baru saya sedar kebenaran nasihat itu,” katanya.


Malah pelakon yang bakal muncul dengan filem KL Zombie ini berkata, dia juga mahu memekakkan telinga dan mengabaikan sebarang bentuk pertikaian tidak berasas mengenainya.

“Sebenarnya, makin saya rapat dan peramah de-ngan orang keliling selama ini, mulalah orang bercakap macam-macam tanpa mendapatkan kesahihan terlebih dulu.

Jadi, lebih baik ada jurang. Terus terang, saya tidak peduli cakap-cakap orang yang tidak saya kenali dengan rapat kerana ia tidak memberikan apa-apa makna,” katanya.

Katanya, lebih baik menjadi diri sendiri dan peka mengenai tindak-tanduk dan disiplin.

Meneruskan cerita, Izara berkata, penegasan diberikan berhubung haknya bukan bererti dia menganggap dirinya gah atau hebat.

“Cuma apabila saya berlembut dan terbuka sebelum ini, ia dibalas buruk sampai menjejaskan nama dan reputasi saya.

“Saya tidak mahu lagi bertolak ansur tapi itu tidak bermakna saya melarikan diri atau tidak mahu bekerjasama untuk urusan publisiti atau promosi kerja.

“Kalau ada benda penting mengenai kerja, tentu saja saya boleh penuhi tetapi jika ada dua pilihan antara kerja atau publisiti depan mata, saya pilih untuk selesaikan kerja dulu,” katanya yang baru menamatkan penggambaran filem Showdown The Movie, baru-baru ini.


Sambut Aidilfitri di Johor Bahru

Menjelang Aidilfitri yang akan disambut Khamis ini, Izara berkata, dia tidak sabar untuk meraikannya bersama keluarga di kampung halamannya di Johor Bahru.

Izara yang bercuti selama seminggu berkata, sambutan tahun ini agak berbeza kerana mereka akan bermalam di hotel bersama saudara-mara yang lain.

“Dulu kami semua berkumpul di rumah datuk, tetapi sekarang apabila balik ke Johor Bahru, kami akan menginap di hotel saja. Ia masih seronok kerana Aidilfitri tetap memberi peluang kepada saya untuk berkumpul dengan sepupu yang ramai.

“Saya ada ramai sepupu yang membesar bersama-sama dan kini semuanya sudah mempunyai kerjaya masing-masing, jadi hanya pada Aidilfitri saja masa-nya untuk kami berkumpul,” katanya.

Menurutnya, ketika berkumpul dengan keluarga sendirilah dia berasa sangat bebas dan boleh buat apa saja tanpa perlu memikirkan reaksi orang lain.

“Saya dan semua sepupu memang kecoh dan gila-gila setiap kali kami berjumpa. Ia adalah masa terbaik untuk saya menjadi diri sendiri,” katanya yang masih belum menetapkan sebarang tawaran berlakon sehingga cuti raya selesai.

Selain KL Zombie yang akan memulakan tayangan pada 29 Ogos ini, Izara juga terbabit dalam filem Balun, Sejoli dan Pilot Cafe yang menunggu slot tayangan.

Posted by Malaysia Online Press on 4:01 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Izara terpaksa tegas elak kontroversi"

Leave a reply