Di mana selebriti global kita?

Kita hidup dalam dunia yang menggilai selebriti. Selebriti hari ini tidak sahaja membabitkan mereka dalam bidang hiburan tetapi juga sukan, malah dunia masakan, korporat dan keluarga diraja. Hari ini kita bercakap tentang penceramah agama yang mencapai status selebriti, selain pengacara TV dan pengamal pelbagai profesion lain. Di TV, hos ruangan survival, menangkap ular dan ikan besar, juga yang boleh menjinakkan anjing, menjadi selebriti global.

TV 24 jam memungkinkan semua itu. Begitu juga ruang siber. Media massa menjadikan selebriti ini dikenal di seluruh dunia. Hari ini imej, cerita dan kegiatan selebriti diikuti dengan penuh minat. Batas dan ruangnya juga semakin terbuka luas. Tokoh korporat yang berjaya seperti Donald Trump dan Tan Sri Tony Fernandes mempunyai program sendiri di TV, lalu meningkatkan lagi profil dan kedudukan mereka di kaca mata orang ramai dan peminat.

Kamus Dewan mendefinisikan selebriti sebagai ‘orang yang terkenal dan menjadi tumpuan ramai.’ Mereka berprofil tinggi dan boleh mempengaruhi peminat atau pengikut mereka. Selalunya mereka dikaitkan dengan kemewahan dan kekayaan. Malah ada kalanya status selebriti mereka berpunca daripada kedudukan kewangan mereka.


Selebriti mendapat liputan luar biasa. Mereka diburu dan digilai oleh peminat. Dalam bahasa Inggeris perkataan obsession atau kegilaan terhadap selebriti ini boleh mengambil makna yang lain. Ada kalanya untuk tujuan wang. Terdapat juga ‘peminat’ yang meminati mereka secara yang luar biasa dan boleh menyebabkan hilang kawalan diri.

Wahana baharu ruang siber

Pada tahun-tahun 60-an dan 70-an, kumpulan The Beatles digilai oleh jutaan peminatnya. Begitu juga hari ini selebriti semasa menjadi pujaan dan kegilaan ramai. Gaya serta fesyen pakaian mereka ditiru. Lagak dan stail mereka dicontohi.

Seorang penyanyi dan penari yang berusia 30-an, membawakan tarian ‘Gangnam-Style’ dan melepaskannya di YouTube. Lebih 1.4 bilion manusia menontonnya. Beliau menjadi selebriti serta-merta. Demikianlah ‘kuasa’ wahana baharu di ruang siber bernama YouTube. Hari ini anda tidak perlu ‘ditemui’ melalui kejayaan dalam program TV seperti American Idol, The Voice, Akademi Fantasia atau Bintang Mencari Bintang. Sesiapa sahaja boleh menjadi Psy atau nama sebenarnya Park Jae-Sang.
Apabila Putera William dan Kate Middleton mendapat bayi lelaki yang dinamakan George Alexander Louis, perhatian dunia tertumpu pada bayi yang bakal menjadi Raja England itu. William dan Kate sendiri merupakan selebriti diraja yang kisah percintaan dan perkahwinannya menjadi peristiwa TV yang besar dan hebat. ‘Bayi Diraja’ menjadi topik paling hangat hari ini.

Semua orang mahu mendampingi selebriti. Dan banyak juga yang mengimpikan untuk menjadi selebriti. Anak-anak kecil membesar melihat selebriti di kaca TV dan di sekeliling mereka. Daripada satu segi kejayaan selebriti ini menjadi dorongan untuk mencapai kejayaan lebih tinggi. Bagaimanapun ada kalangan yang tidak menyenangi fenomena selebriti ini. Ada yang berpendapat mereka lebih banyak melalaikan. Malah ada kalanya selebriti memperagakan perilaku yang tidak disenangi umum. Maka itu selebriti perlu menjaga diri, moral dan akhlak agar mereka boleh menjadi contoh malah ikon bagi anak-anak muda.

Anak harus dimotivasikan

Kenyataannya ialah anak-anak yang tinggal di kawasan setinggan di Sao Paulo, Johannesburg, Mumbai, Kuala Lumpur dan Shanghai mahu mengubah hidup mereka. Ada yang mahu menjadi pemain bola profesional yang berjaya seperti Messi, Ronaldo, Rooney atau sebelumnya David Beckham. Ada yang ingin menjadi Tiger Woods yang merupakan pemain golf yang terkaya di dunia. Ada yang mahu menjadi masyhur sebagai pelakon filem. Atau menjadi chef selebriti yang terkenal. Atau menjadi pendakwah yang mampu terbang dengan jet peribadi.

Tidak ada salahnya meletakkan impian yang luar biasa. Atau meletakkan sasaran yang tinggi dalam hidup. Anak-anak harus dibenarkan bercita-cita tinggi. Mereka juga harus dimotivasikan untuk mencapai impian itu. Tidak ada yang mustahil di dunia ini. Dengan kesungguhan dan doa, sesiapa sahaja boleh mencapai kejayaan cemerlang.

Apa yang kurang pada anak-anak Malaysia ialah cita-cita untuk mencipta nama di persada dunia. Kita tidak ada selebriti bertaraf global. Kita tidak punya Rain, Justin Bieber, Adele atau pelakon yang hebat dalam dunia hiburan. Kita tidak punya ahli sukan yang bermain di liga utama di Eropah. Kita tidak ada personaliti TV yang dikenal di seluruh dunia.

Kita hanya ada selebriti yang terkenal sesama kita.

Posted by Malaysia Online Press on 3:56 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Di mana selebriti global kita?"

Leave a reply