Keluarga Boon Huat terharu
Melaka: Keluarga pemain hoki negara mendiang Chuan Boon Huat melahirkan perasaan terharu dengan kehadiran orang ramai memberi penghormatan terakhir di rumahnya di Taman Semabok Perdana, semalam.Sejak mayat mendiang dibawa ke rumahnya Jumaat lalu, peminat tidak henti-henti mengunjungi keluarga mendiang dan mengucapkan takziah atas pemergian mengejut bintang hoki itu yang maut awal Khamis lalu selepas terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP), Kelana Jaya.
Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang yang akan dikebumikan hari ini.
Hadir sama mengiringi Raja Muda adalah Presiden Konfederasi Hoki Melaka Datuk Md Yunos Husin dan Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia Datuk Nur Azmi Ahmad.
Abang sulung mendiang Alif Nur Najmi Chua, 42, berkata, Raja Nazrin meminta mereka sekeluarga bersabar dan menerima ketentuan itu dengan tabah.
Katanya, Raja Muda kagum dengan komitmen mendiang adiknya sepanjang beraksi untuk negara di peringkat antarabangsa.
“Raja Nazrin turut memaklumkan beliau juga meminati corak permainan dan kesungguhan mendiang setiap kali beraksi sejak mewakili negara 16 tahun lalu.
“Kami amat terharu dengan ucapan dan kunjungan beliau yang memberi kekuatan kepada kami terutama ibu saya yang masih tidak percaya dengan pemergian mengejut anak bongsunya itu,” katanya.
Sebelum ini kerajaan negeri Melaka menerusi Ketua Menteri Datuk Wira Ir Idris Haron mengiktiraf jasa Boon Huat dengan menjenamakan padang hoki atau bilik sukan Sekolah Tinggi Melaka atas nama mendiang.
Ia bertujuan menghargai jasa dan sumbangan mendiang yang mewakili negara 340 kali sejak berusia 17 tahun.
0 comments for "Keluarga Boon Huat terharu"