Dari talian ke butik
Bangi: Hijabiya Enterprise, syarikat yang menawarkan rekaan tudung dan pakaian Muslimah eksklusif di bawah jenama Elya Shazleen merancang untuk membuka cawangan baru dalam tempoh tiga tahun akan datang.Pengasasnya, Elya Shazleen Mohamed berkata, perniagaan berkenaan yang dimulakan secara dalam talian pada mulanya kini turut ditawarkan di butik yang terletak di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.
“Saya memulakan perniagaan ini secara dalam talian pada tahun lalu dengan menawarkan tudung dengan rekaan yang dihasilkan sendiri.
“Oleh kerana sambutan yang diterima menggalakkan, maka saya mengambil keputusan membuka butik untuk memberi peluang pelanggan mencuba tudung dan pakaian yang sesuai dengan cita rasa mereka,” katanya.
Menurutnya, antara keunikan tudung yang ditawarkan adalah setiap rekaan dihasilkan akan dihantar untuk perlindungan hak cipta.
“Untuk mengekalkan rekaan dan jenama ini terus berada dalam kelas tersendiri, saya akan menghantar semua rekaan bagi tujuan perlindungan hak cipta untuk mengelakkan ia ditiru atau dijual semula.
“Ini antara usaha yang dilakukan bagi memastikan pelanggan kami memiliki tudung yang eksklusif dan hanya boleh terdapat dari butik kami saja,” katanya sambil menambah pihaknya menghasilkan sekurang-kurangnya dua rekaan dalam tempoh sebulan dengan setiap rekaan ditawarkan dalam pelbagai warna.
Beliau berkata, kebiasaannya, setiap rekaan akan ditawarkan dalam 10 warna namun, jika rekaan itu mendapat permintaan tinggi, pihaknya akan menghasilkan sehingga 21 warna.
Menurutnya, disebabkan permintaan tinggi, pihaknya merancang untuk membuka sehingga tiga cawangan dalam tempoh tiga tahun lagi dengan memberi tumpuan kepada lokasi sekitar Lembah Klang dan Pantai Timur.
0 comments for "Dari talian ke butik"