Jakim tiada kuasa untuk tahan Maznah, kata peguam
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil alih tugas mahkamah dalam memutuskan video ‘anjing dan Aidilfitri’ adalah salah kerana menghina agama Islam tanpa memberi peluang kepada Maznah memberi penjelasan, kata peguam kepada pelatih anjing Muslim Maznah Mohd Yusof atau lebih dikenali sebagai Chetz.Peguamnya, Latheefa Koya dan N Surendran, berkata meletakkan kesalahan tanpa memberi peluang seseorang memberi penjelasan adalah melanggar kebiasaan di mana setiap orang berhak mendapat perlindungan perlembagaan negara.
Adalah mengejutkan meskipun pelbagai bantahan dilakukan, Jakim terus mengganggu tugas dan bidang kuasa mahkamah dengan menyatakan pada 5 Ogos lalu video itu menghina Islam.
Dengan kenyataan baru oleh Ketua Pengarah Jakim itu, Jakim jelas menunjukkan sikap berat sebelah dan memusuhi Maznah.
“Kami menegaskan Maznah tidak akan patuh kepada sebarang arahan bagi menemui Jakim. Sebarang arahan kepada Maznah untuk hadir ke Jakim adalah idak menurut undang-undang dan bercanggah dengan Perlembagaan.
“Jakim tiada kuasa bagi memanggil Maznah bagi memberi penjelasan terhadap video ‘anjing dan aidilfitri’ atau hadir ke pejabat Jakim.
“Jakim adalah badan pentadbiran yang tidak diberikan kuasa untuk memaksa rakyat Malaysia. Mengejutkan apabila Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha tidak memahami tugas dan kuasa Jakim. Malah, Jakim tidak berlaku adil kepada Maznah sejak dari awal lagi timbulnya kontroversi video berkenaan,” kata peguam itu dalam satu kenyataan hari ini.
Peguam itu berkata, walaupun siasatan polis sedang berjalan, Jakim mengeluarkan kenyataan prejudis terhadap siasatan yang sedang berjalan.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad berkata kerajaan dilihat "terlebih bertindak" dalam perhatian mereka berhubung video kontroversi ‘anjing dan Aidilfitri’ apabila menjadikan video berkenaan isu nasional.
Anwar turut membandingkan beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) yang secara terang-terangan terbabit dengan kegiatan perjudian dan penjualan arak namun tiada sebarang tindakan dikenakan terhadap mereka.
Maznah mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga ekor anjing dimuat naik ke dalam YouTube pada Isnin.
Video itu menunjukkan Maznah membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar berhampiran pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.
Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan Maznah memakai baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya seolah-olah mengambil wuduk sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.
Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)."
Video itu turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin daripada Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk bersama tiga ekor ekor anjing di atas sofa.
Video Maznah dan anjingnya itu diterbitkan sejak tiga tahun yang lalu. - 6 Ogos, 2013.
0 comments for "Jakim tiada kuasa untuk tahan Maznah, kata peguam"