Al kisah tin Milo

Apa yang menarik perhatian kita kepada tin milo? Jika berisi, sudah tentulah pada isinya. Jika kosong, mungkin kita berfikir-fikir untuk menginovasikan tin tersebut, paling tidak pun dibuat bekas guna isi barang.

Al-kisah, di suatu negeri dahulu yang cukup terkenal dengan kehijauan – hinggakan segalanya dicat warna hijau – tin-tin milo sentiasa menjadi objek bersubjek yang paling digemari oleh pemimpin negeri dan diterima baik pula oleh sekalian rakyat jelatanya.

Pada suatu hari ketika berlangsung satu keramaian meraikan seorang warga negeri yang baru berhijrah dari warna kuning ke warna hijau, sekumpulan pemudinya mengedarkan lagi tin-tin milo keliling gelanggang.

Tin-tin milo itu berpindah tangan ke tangan. Lalu bergerincinglah bunyi syiling sekupang dua kupang lima kupang mengetuk dasar tin, membukit lalu melimpah. Tin-tin baru diedarkan lagi, diisi, penuh dan melimpah. Tin-tin baru diedar lagi, berulang-ulang. Hasil pungutan dilonggokkan ke bucu dinding sedang sekumpulan pemudi yang lain asyik menghitung sekupang dua kupang lima kupang yang diperoleh.

Setelah tamat acara, maka tibalah saat mengumum hasil kutipan. Tampil si ketua pemudi ke hadapan, bangga kembang hidungnya, sengih lebar puas.

“Tuan-tuan, puan-puan, adik-adik, kakak-kakak, abang-abang, saudara-saudariku sekalian,” si ketua pemudi mula menabur kata. “Kutipan kita pada malam ini 8888.88 ringgit. Inilah hasil yang terbaik sekali,” ujarnya lagi. Hadiri bertepuk tangan.

Tiba-tiba seorang pemudi bangun dan bertanya, “Boleh saya tahu, di mana duit itu akan disimpan?”

Suasana tiba-tiba jadi senyap jadi sunyi. Ketua pemudi itu seperti dipukul. Tidak pernah ada rakyat di negeri itu mempersoalkan di mana hasil kutipan derma akan di simpan. Dia resah. Kalau aku jawab disimpan di bank, tentu dia akan tanya nombor akaun. Tak akan aku nak beritahu nombornya, nanti bocorlah itu akaun parti pemerintah.

“Saya akan jawab secara personal. Boleh jumpa saya selepas acara ini tamat,” jawab ketua pemudi itu selepas puas berkilas mencari helah.

*Nukilan Aspirasi USM*

Posted by Malaysia Online Press on 11:41 AM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Al kisah tin Milo"

Leave a reply