70 peratus pekerja tidak mahir
KUALA LUMPUR 31 Julai - Kira-kira 70 peratus daripada 12 juta pekerja di negara ini tergolong dalam pekerja tidak mahir.Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee berkata, fenomena itu perlu dipandang serius oleh kerajaan dalam usaha mencapai status negara maju menjelang 2020.
Selain itu menurutnya, daripada 1.2 juta pemegang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia sehingga Mei 2013, hampir 80 peratus adalah pemegang Sijil Tahap 1 dan 2 yang dikategorikan pekerja berkemahiran rendah dengan pendapatan bawah RM2,000 dalam tempoh lima tahun selepas tamat latihan.
"Situasi ini menunjukkan kekurangan bilangan pekerja mahir dalam kalangan belia tempatan berada pada tahap serius sekarang.
"Langkah agresif perlu diambil terutamanya dalam tempoh enam tahun akan datang yang mana kerajaan sepatutnya menyediakan 300,000 pekerja mahir terlatih setiap tahun hingga 2020," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Yang turut hadir wakil Persekutuan Pusat-pusat Bertauliah Malaysia (Femac), Gabungan Kerjasama Institut Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) Bumiputera dan Konsortium Penyedia Latihan Kemahiran Bumiputera Sabah.
Dalam pada itu, MBM bersama Femac, ILKS mengesyorkan lima usul kepada kerajaan dalam usaha memartabatkan pembangunan belia berkemahiran bagi mengisi keperluan tenaga mahir negara menjelang 2020.
Katanya, usul itu bertujuan menggesa kerajaan memberikan perhatian serius tentang isu pekerja mahir terlatih dalam Belanjawan 2014.
"Memandangkan belia adalah enjin pembangunan ekonomi serta penentu landskap politik dan sosial negara pada masa depan, MBM memohon kerajaan untuk memberi perhatian serius terhadap syor ini untuk dilaksanakan dalam Bajet 2014," katanya.
Antara syor tersebut ialah menyusun semula pelan pembangunan latihan kemahiran dan melaksanakan segera langkah strategik melibatkan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS), bermula tahun hadapan hingga 2020.
Mereka turut mengesyorkan kerajaan menggerakkan inisiatif 'Private-Public Partnership' (3P) antara ILKA dan ILKS serta pihak industri untuk menggandakan pengambilan pelatih kemahiran.
Namun pada masa yang sama turut menyediakan Indeks Prestasi Utama (KPI) supaya semua graduan mendapat akses pekerjaan dan pendapatan yang baik di peringkat 'post' latihan.
Kerajaan juga diminta meningkatkan saiz dana Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) daripada RM300 juta setahun kepada RM1 bilion bermula tahun depan dalam Belanjawan 2014 untuk menyediakan peluang latihan kepada 100,000 pelatih baharu di ILKS dan sebahagian peminjam di ILKA.
0 comments for "70 peratus pekerja tidak mahir"