Nong Chik, Zulhasnan pertahankan jawatan Majlis Tertinggi UMNO
KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan akan mencalon Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Tan Sri Zulhasnan Rafique untuk mempertahankan jawatan dalam Majlis Tertinggi UMNO pada pemilihan parti Oktober ini.Pengumuman itu dibuat pada sidang media oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selepas mesyuarat pertama yang dipengerusikannya hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua calon itu masing-masing adalah timbalan pengerusi dan anggota jawatankuasa badan perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO turut mengumumkan pelantikan Raja Nong Chik sebagai pengerusi Jawatankuasa Khas Pembangunan Bangunan UMNO Wilayah Persekutuan dan Jawatankuasa Pengurusan manakala Datuk Rizuan Abdul Hamid sebagai pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan badan perhubungan itu.
Beliau turut mengumumkan Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusoff sebagai Ketua Penerangan, Datuk Johari Abdul Ghani (Bendahari) dan Datuk Shafie Abdullah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Umum Wilayah Persekutuan.
0 comments for "Nong Chik, Zulhasnan pertahankan jawatan Majlis Tertinggi UMNO"