Hanisah wanita Islam pertama tawan Gunung Everest

Apakah gelaran sesuai diberikan kepada wanita bertubuh kecil ini? Wirawati, jaguh atau ikon negara? Berikan apa saja jolokan, yang pasti ketua pendaki ekspedisi Everest-FELDA 2013, LK1 Kom Siti Hanisah Sharuddin, 23, sudah berada dalam kelas yang tersendiri.

Ternyata ramai yang mengakui kehebatan anak kelima daripada tujuh beradik ini apabila berjaya menawan Everest, puncak tertinggi dunia dua bulan lalu.

Pelbagai rintangan dilalui antaranya bertahan lebih 60 jam di zon maut dengan ketinggian 8,000 meter, muntah dan pening, berhadapan ujian alam seperti angin kuat dan salji, mendaki sebanyak dua kali serta terpaksa bergelut menahan kelaparan selepas makanan hilang di Kem 3. Namun semuanya tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencapai apa yang diinginkan.

Penulis sendiri cukup teruja mendengar kisah kejayaan si gadis yang mesra disapa Anis ini kerana bukan semua orang mampu menjadi seperti dirinya.

Tanpa kecekalan, kesungguhan, usaha bersungguh-sungguh, disiplin serta banyak lagi nilai positif sama ada dibentuk sejak lahir mahupun sepanjang menjalani sesi latihan bersama kumpulan Projek Everest-FELDA 2013, pasti semua­nya hanya omongan kosong saja.

Kumpulan projek berkenaan turut membabit­kan Mohd Nasuha Shamsudin, 21; Mohamad Asyraf Mohd Halim, 25; Muhammad Hafizuddin Ibrahim, 22; Myrza Fasha Md Hamyrudin, 25, berserta dua jurulatih, Zainudin Lot, 37 dan Muhammad Illham Ishak, 37.

Memiliki peribadi ceria dan mudah mesra, Anis yang juga atlet jalan kaki 20 kilometer Tentera Laut Diraja Malaysia mengakui, sebelum ini dia langsung tiada asas dalam mendaki gunung.

Bukan tiada keinginan mencuba namun kesibukan bekerja membataskan semuanya.

Sehinggalah suatu hari dia terfikir sepanjang lapan tahun dalam sukan jalan kaki, kejayaan paling besar pernah dicapai hanyalah di peringkat Asia.

Disebabkan ingin menyahut cabaran jurulatih, Mohd Azam Abu Hashim yang mahukannya mempelbagaikan bakat selain kemahiran berjalan kaki 20 kilometer, Anis tekad ingin mendaki puncak tertinggi dunia.

“Saya tekad mencuba sesuatu yang bukan saja membanggakan diri tetapi agama, bangsa dan negara. Saya terfikir Qobin (Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin) yang menjalankan aktiviti mendaki ke puncak Everest. Kebetulan, ketika itu Qobin dalam proses pencarian bakat muda FELDA menyertai misi menawan puncak pendakian Everest yang dilaporkan bermusim sekali setahun iaitu antara April dan Mei.

“Saya mengenali Qobin sudah lama, kira-kira 15 tahun ketika menyertai ekspedisi kayuhan basikal. Namun pertemuan yang tidak diduga setahun lalu dan gurauan menyahut cabaran mendaki memudahkan perjalanan saya hingga terpilih bersama empat peserta menggalas misi Everest sekali gus bergelar ketua kumpulan,” katanya bangga.

Semangat juang tinggi

Semua mengetahui Anis terpaksa mendaki dua kali untuk sampai ke puncak Everest namun dia melihatnya sebagai rahmat Allah untuk memudahkan misinya menawan puncak dengan selamat.

Baginya, walau sebaik mana sekalipun perancangan individu kuasa Allah melebihi semuanya malah dia mendapat sesuatu yang paling bernilai iaitu makna kekalahan dan kemenangan sebenar serta mengekalkan emosi supaya berada di tahap paling sempurna.

Menceritakan keadaannya mengalah dalam percubaan pertama ke Everest, Anis berkata, dia memulakan pendakian dari Kem 4 agak lewat berbanding enam rakan pendaki yang lain.

“Saya lewat 45 minit mendaki kerana menung­gu sherpa Jamling yang memeriksa dan mempersiapkan peralatan mendaki. Dalam pendakian ke Gunung Everest, seorang pendaki akan diiringi seorang sherpa pendaki berpengalaman. Keadaan itu menyebabkan kami berdua hanya sampai di kawasan yang dinamakan ‘balcony’ pada jam 7 pagi keesokannya. Ikutkan masa, memang sangat lambat kerana jarak balcony ke puncak masih jauh.

“Selain itu, ada terlalu ramai pendaki dari negara lain menunggu giliran untuk melepasi kawasan berbahaya menggunakan tali. Melihatkan keadaan itu, saya jangka tidak dapat sampai ke puncak me­ngikut masa ditetapkan. Tambahan pula kesihatan saya sangat teruk ketika itu,” ujarnya sambil memberitahu had waktu sampai ke puncak yang ditetapkan sherpa pada jam 1 tengah hari.

Selepas berbincang dengan Jamling mengenai situasi itu, dia dibenarkan turun dan mendaki semula pada malam 21 Mei walaupun perasaan begitu membuak-buak untuk mengikuti enam rakan yang lain. Kadang-kadang ada juga terdetik yang dia tidak akan sampai ke puncak. Jika benar, wanita ini memang sudah bersedia menerimanya.

“Saya tidak menyesal membuat keputusan untuk turun kerana sepanjang perjalanan turun ke Kem 4, saya mempunyai banyak masa untuk meningkat­kan pengetahuan mengenai teknik penggunaan tali yang digunakan ketika mencuba kali kedua.

“Namun, perancangan itu tidak menjadi kenyataan kerana pada tarikh berkenaan, cuaca amat buruk dengan angin kencang luar biasa sehinggakan khemah yang didirikan seperti hendak melayang. Saya ibarat duduk di hujung maut. Salah percaturan nyawa boleh melayang,” katanya yang terpaksa menangguhkan pendakian selama sehari sekali gus mencetuskan kebimbangan di hatinya mengenai peluang mendaki kali kedua.

Namun Allah mendengar rintihan hati Anis apabila keesokan harinya, angin kembali tenang dan dia berjaya meneruskan perjalanan dengan hanya satu kilometer untuk sampai ke puncak. Pada jam 7.41 pagi 23 Mei dia bersama sherpa Jamling dan Temba akhirnya berjaya sampai ke puncak tertinggi dunia dan menjadi wanita termuda negara berjaya menawan puncak Everest.

Kagum dengan kebesaran Allah

Ditanya perasaannya apabila berjaya berada di puncak dunia, dia akui sepanjang 20 minit di puncak Gunung Everest adalah saat paling mengujakan dan sukar digambarkan. Dia hanya mampu mengucapkan kalimah suci Allah apabila melihat keindahan dunia dari ketinggian 8,848 meter itu.

“Saya dapat menyaksikan kekuasaan Allah dengan melihat kejadian siang dan malam pada satu masa iaitu siang di Nepal dan malam di Tibet. Matahari terasa begitu dekat. Begitu juga dengan pelbagai kejadian alam seperti ribut, angin, salji dan panas semuanya berlaku pada satu masa. Ini membuatkan saya terasa begitu kerdil sebagai hamba-Nya.

“Namun saya tidak boleh lama di puncak kerana cuaca tidak baik selain angin kuat. Saya amat terharu kerana susah payah dan latihan keras selama berbulan-bulan terbalas sebaik tiba di sana.

“Sepanjang mendaki apa yang ada di fikiran adalah wajah ibu dan bapa yang sentiasa memberikan semangat. Saya masih ingat pesanan ibu supaya sentiasa berzikir menyebut kalimah Allah ketika mendaki dan itulah yang saya lakukan,” kata anak kepada pasangan peneroka, Sharuddin Ahmad, 56 dan Rubiah Abd Rahman, 52, ini.

Dia juga hampir pengsan ketika ingin merakamkan gambar selepas berjaya menawan gunung tertinggi di dunia itu. Cadangnya, Anis hanya ingin membuka topeng oksigen dalam tempoh dua saat sebaik tiba di puncak gunung berkenaan, tetapi belum sempat dua saat dia sudah rebah.

“Ketika itu bekalan oksigen saya sa­ngat berkurangan dan saya fikir jika saya ambil gambar tanpa membuka topeng oksigen pasti rakyat Malaysia tidak dapat melihat wajah saya di puncak. Jadi saya cuba buka topeng oksigen, namun belum sempat merakam gambar dalam masa dua saat saya hampir pitam.

“Saya masih ingat saya terduduk kerana tiada oksigen sehingga menerima bantuan daripada sherpa,” katanya yang mengaku sangat degil untuk mencuba sesuatu yang diinginkan.

Kenal diri sendiri

Akui Anis, pendakian yang dilakukan bukan setakat menguji kekuatan mental dan fizikal malah emosi dan keseluruhan jiwa untuk lebih mengenal diri. Kekuatan amat diperlukan dalam setiap sudut kerana tanpa semangat, keberanian dan kesungguhan, sudah tentu impian tidak akan menjadi kenyataan.

“Apabila ada yang bertanya kepuasan berada di puncak dunia, bagi saya berada di puncak tertinggi dunia tidak bermakna seseorang itu mampu melihat seluruh dunia.

“Ia hanya sejebis ilmu dan masih banyak yang perlu diterokai. Ia tiada penghujung dan tiada titik nokhtahnya. Paling penting, saya belajar bagaimana menawan diri sendiri serta mengenali setiap kelemahan dan kekurangan.

“Mungkin ada yang berkata untuk apa ke sana, bukankah ia sekadar mengundang maut. Apa keseronokannya? Dulu saya langsung tidak pernah mendaki gunung namun selepas mengikuti aktiviti ini, ia membawa saya kepada sesuatu yang tidak pernah saya peroleh iaitu semangat, keberanian serta mengenal alam dan pencipta-Nya,” katanya.

Jelas Anis, sekiranya kekuatan dan semangat ini dibawa dalam kehidupan harian dalam apa juga lapangan kerjaya, sudah pasti kejayaan dapat diperoleh dengan mudah. Misalnya dia yang terkenal dengan sifat degil dan panas baran cuba mengubah menjadi lebih positif.

Dilahirkan dalam keluarga peneroka yang bukan semua diperoleh dengan mudah, banyak membentuk peribadi menjadi seperti sekarang.

“Ayah sangat mementingkan disiplin terutama dalam pelajaran. Dia juga mengajar erti kesusahan sehingga ketika tingkatan tiga di Sekolah Bukit Jalil, saya langsung tidak pernah meminta wang daripada ayah. Saya makan apa yang ada, jika tiada saya sanggup berlapar.

“Jadi dengan cabaran yang dilalui sepanjang pendakian, ia sebenarnya sambungan kepada kisah perjalanan kesusahan lampau.

Malah sebelum menjejakkan kaki ke sana saya sudah dihidangkan dengan segala macam cabaran berbentuk teori yang akan dilalui.

“Jadi apabila menghadapi keadaan sebenar, itulah yang saya harus terima. Ketakutan apabila melihat 13 mayat bergelimpangan langsung tiada, begitu juga dengan perubahan alam dengan suhu sejuk, angin, ribut, salji serta cuaca sejuk
melampau di bawah paras beku sehingga -40 darjah Celsius semuanya terpaksa saya
hadapi kerana itu semua cabaran sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, rahsia kejayaan ketua pendaki ini serta rakan lain adalah sentiasa menetapkan niat menawan puncak Everest kerana Allah bukannya untuk mendapatkan nama dan ganjaran semata-mata. Malah perjalanan menyelesaikan misi mendaki Gunung Everest itu kerana mengikuti sunah Nabi Muhammad SAW yang mendaki Gunung Jabar Rahmah selepas menerima wahyu daripada Allah.

“Seperti yang saudara Qobin selalu pesan, kami perlu tentukan niat sebenar dalam misi ini iaitu ikhlas kerana Allah. Jika niat pertama ke sana untuk mendapatkan ganjaran, sudah pasti sejak awal ia tidak akan berjaya,” katanya.

Selepas ini dia akan meneruskan misi menawan puncak tujuh benua dan sekiranya tercapai akan mencatat rekod sebagai wanita pertama Malaysia menjayakan misi itu.

“Sebagai anak FELDA pastinya saya dan rakan yang lain berbangga kerana berjaya mengharumkan nama negara dan nama FELDA. Saya berharap anak FELDA lain berani mencuba perkara baru dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi,” katanya.


Profil

Nama : Siti Hanisah Sharuddin
Usia : 23 tahun
Tarikh lahir : 21 Julai 1990
Asal : Gemas, Negeri Sembilan
Adik-beradik : 5 daripada 7 beradik
Kerjaya : Atlet pejalan kaki TLDM dan bekas atlet jalan kaki 20 kilometer kebangsaan.

Pencapaian

Wanita Islam pertama di dunia menawan Gunung Everest

Wanita pertama dari Malaysia berjaya menjejakkan kaki ke Everest.

Wanita pertama Malaysia berjaya menakluk Gunung Elbrus, puncak tertinggi
di benua Eropah

Posted by Malaysia Online Press on 12:59 PM. Filed under . You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

0 comments for "Hanisah wanita Islam pertama tawan Gunung Everest"

Leave a reply