Ancelotti melampau
Monaco: Pengurus Tottenham Andre Villas-Boas berang dengan tindakan jurulatih Real Madrid Carlo Ancelotti yang secara terbuka menyatakan keinginannya untuk mendapatkan bintang kelab itu Garath Bale.Villas-Boas menegaskan Bale bukan untuk dijual, malah menyatakan pemain berusia 24 tahun itu masih menyarung jersi Spurs musim ini.
Bale dijangka melengkapkan perpindahan termahal dunia, 100 juta euro (RM432 juta) ke Real Madrid minggu ini.
Villas-Boas bagaimanapun berkata, kenyataan yang mendakwa pemain itu hampir pasti meninggalkan White Hart Lane hanyalah satu spekulasi.
“Pada pendapat saya Ancelotti melakukan kesilapan kerana mengumumkan perkara itu kepada umum,” kata Villas-Boas selepas menyaksikan skuad bimbingannya tewas 2-5 kepada Monaco pada perlawanan persahabatan pramusim awal pagi semalam.
“Memang kami ada mengadakan perbincangan dengan Real dan kemudian ia dihebohkan. Saya berasa ia satu tindakan yang salah.
“Segala spekulasi mengenai isu perpindahan itu tidak benar.” Bale yang mengalami kecederaan kaki, berada di London dan dia dilapor sudah bersedia meninggalkan rakan sepasukannya di Tottenham.
“Biasanya situasi seperti ini akan dikawal Persatuan Bola Sepak. Apa yang boleh kami katakan ialah pemain itu bukan untuk dijual,” jelas Villas-Boas.
“Bale adalah pemain yang saya gemari. Kami mengadakan perbincangan dengan Real kerana mahu mengekalkan hubungan antara dua kelab berikutan perpindahan Luka Modric musim lalu.
“Kami membentuk satu pasukan mantap untuk musim depan. Kami merancang masa depan bersama Bale. Apapun, kami sedar dalam bola sepak apa saja boleh berlaku,” katanya. - AFP
0 comments for "Ancelotti melampau"